Tuesday 28 March 2017

IBU BAPA CONTOH TELADAN ANAK



Image result for ibu bapa sebagai contoh teladan

Sabda Rasul S.A.W “Ajarilah anak-anak kamu dan keluarga kamu kebaikan dan lengkapkanlah mereka dengan adab susila..” Riwayat Abd Razzak dan Said Mansur.
Peribahasa menyatakan, “Getah daun akan mengalir ke batang jua,” menunjukkan bahawa anak-anak sudah pasti menuruti ibu bapa dalam hal tingkah laku dan sikap. Mengambil iktibar daripada peribahasa tersebut, amatlah penting kepada ibu bapa untuk memupuk anak-anak dengan segala bentuk amalan yang positif  seperti amalan berjimat cermat, kebersihan, amalan cara hidup sihat dan budaya hormat-menghormati. Pelbagai langkah dan inisiatif perlu dilagangkan oleh ibu bapa agar anak-anak akan lahir daripada acuan tingkah laku yang baik yang dijanakan oleh ibu bapa. Hal sama pasti boleh dilaksanakan untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa mementingkan kebersihan dan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian. Lihat sahaja Sabda Rasul S.A.W yang menyarankan agar ibu bapa bertanggungjawab dalam melengkapkan anak-anak dengan ilmu dan pengetahuan yang baik bagi menjadikan anak-anak insan yang soleh dan solehah.
Anak ibarat kain putih yang bersih, ibu bapalah yang membentuk anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Demikian juga yang ditegaskan oleh pendakwah bebas Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood dalam mendidik anak-anak. “Anak-anak merupakan dominan terhadap ibu bapa, guru dan juga para selebriti. Namun paling penting ialah ibu bapanya kerana pendidikan awal bermula dari rumah. Pendek kata apa saja yang dilakukan oleh si ibu mahu diturutinya. Kalau dalam aspek sebegini anak-anak mahu mencontohi ibu bapa mereka maka, pastinya mereka cuba mencontohi aspek lain-lain juga.” “Sebab itu ada pepatah yang menyebut bapa borek anak rintik, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi dan lain-lain. Semua ini membuktikan bahawa kalau anak-anak bermasalah maka faktor utama yang perlu dilihat terlebih dahulu ialah ibu bapa mereka.”Ujar Ustazah Bahyah.
Apa yang ingin ditekankan di sini adalah mentaliti ibu bapa sekarang yang terlalu bersifat ambil mudah dan tidak mahu melibatkan diri secara langsung dalam perkembangan sahsiah mahupun akademik anak-anak mereka. Adakah ibu bapa sekarang terlalu sibuk hinggakan urusan atau tanggung jawab utama mendidik anak-anak diabaikan? Peranan ibu bapa amatlah diharapkan untuk membentuk generasi muda sekarang yang terdedah kepada gejala negatif luar kawal yang mana jika tidak dicegah akan mendatangkan kemudaratan yang serius kepada mereka dan institusi keluarga.
Jika dilihat kepada masalah sosial yang berlaku di kalangan generasi muda sekarang, kebanyakannya adalah disebabkan oleh kelonggaran ibu bapa dalam mengawal tingkah laku serta perhubungan anak-anak mereka. Memanglah banyak faktor yang mendorong kepada permasalahan ini tetapi ini semua dapat dikawal jika ibu bapa mempunyai pengetahuan dalam kaedah mendidik dan mengawal tingkah laku anak-anak.
Ibu bapa sepatutnya menjadi role model untuk dicontohi anak-anak mereka terutama daripada segi mengamalkan gaya hidup sihat dan penampilan diri yang kemas dan ceria, namun begitu pada hari ini, kita dapati ramai di kalangan ibu bapa yang menunjukkan perlakuan yang tidak baik yang boleh mempengaruhi pemikiran dan tumbesaran anak-anak seperti perlakuan menghisap rokok, meminum minuman keras, menagih dadah, bersikap ganas, malas untuk bersenam, mengamalkan gaya hidup yang sedentari dan sebagainya 




0 comments:

Post a Comment